Monday, March 8, 2010

JANGAN BANGGA DENGAN KUASA YANG ADA

08 Mac, 2010 15:06 PM

Jangan Bangga Dengan Kuasa Yang Ada , Titah Sultan Kedah

ALOR SETAR, 8 Mac (Bernama) -- Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Isnin bertitah mengingatkan umat Islam khususnya golongan pemimpin agar tidak berbangga dengan kuasa yang dimiliki.

Ini kerana titah baginda, kuasa adalah amanah daripada Allah S.W.T yang mesti dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.

"Agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W terdiri daripada prinsip-prinsip yang jelas dan luhur, tidak terdapat helah dan tipu daya, dan apa yang menjadi dasarnya ialah untuk mendatangkan kebaikan kepada setiap manusia," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini.

Baginda bertitah umat Islam mesti mencontohi Rasulullah S.A.W yang telah membawa konsep kesejahteraan sejagat.

Kemunculan agama Islam bertujuan mengeluarkan manusia dari kejahilan dan membawa ke jalan kebenaran, semata-mata untuk membetulkan akidah dan pembangunan moral serta memberi garis panduan tertentu untuk membina masyarakat yang kukuh dan saling membantu sesama manusia, titah baginda.

Pada majlis berkenaan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut menyampaikan anugerah Tokoh Maulidur Rasul dan Tokoh Imam yang masing-masing diterima oleh pengasas Madrasah Irsydiah Islamiah, Zakaria Ismail,73, dan Abdul Samad Abdul Hamid, 81.

Zakaria dari Jeneri, Sik diiktiraf atas jasa-jasa beliau dalam pendidikan sekolah pondok menerusi penubuhan madrasah itu pada 1974 sementara Abdul Samad pula diiktiraf di atas sumbangan beliau sebagai imam Masjid Kampung Sena, Tobiar, sejak 39 tahun lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...